Kenali 'generasi baharu' bola sepak Itali

Tanggal 13 November 2017 merupakan satu detik hitam buat bola sepak moden pasukan kebangsaan Itali apabila gagal layak ke Piala Dunia 2018 selepas terikat tanpa jaringan menentang Sweden.

Pernah melahirkan bintang-bintang bertaraf dunia, generasi seperti Fabio Cannavaro, Alessndro Del Piero, Francesco Totti, Andrea Pirlo, Gianluigi Buffon and Giorgio Chiellini, generasi baharu diharapkan mampu menyalakan sinar buat gergasi yang sedang tidur itu kembali.

Malam ini, pasukan yang dibimbing Luigi Di Biagio itu akan menentang England dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley. Jom kita tinjau siapa generasi baharu skuad Azzuri seperti yang dilaporkan Mail Online...

Gianluigi Donnarumma (Umur 19, Kelab: AC Milan)


Mula mendapat tempat dalam kesebelasan utama Ac Milan sejak berusia 16 tahun, Donnarumma merupakan pengganti jangka panjang Buffon yang mungkin melakukan penampilan terakhir bersama Itali.

Masih jauh lagi perjalanan, kesilapan mudah yang dipamerkan dalam aksi Liga Europa menentang Arsenal memperlihatkan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.

Daniele Rugani (23, Juventus)


Dengan rakan sepasukan, Giorgio Chiellini dan Andrea Barzagli bersara di peringkat antarabangsa, Rugani berdepan tekanan sebagai masa depan pertahanan tengah Itali, bagi kelab dan negara.

Tidak begitu mobil atau pantas, pertahanan muda ini menutup kelemahannya dengan kekuatan perebutan bola di udara, deria kedudukan (positional) yang baik dan gemar melakukan terjahan keras. Juga mampu memberikan bahaya menerusi sepakan bola mati.

Lorenzo Pellegrini (21, As Roma)


Tidak dilahirkan sebagai bintang, Pellegrini menderita akibat degupan jantung yang tidak sekata ketika kecil dan dijual Roma kepada Sassuolo seawal usia 18 tahun. Bagaimanapun, dengan klausa pembelian semula dimasukkan, pengurus, Rudi Garcia melihat bakat yang ada pada Pellegrini dan membawanya kembali pulang ke Rome dan memberikannya jersi nombor tujuh.

Pemain tengah dengan minda menyerang, Pellegrini kerap naik ke atas dan merupakan pemain utama ketika Di Biagio mengendalikan skuad bawah 21 kebangsaan Itali.

Roberto Gagliardini (23, Inter Milan)


Ketika ini dipinjamkan ke Inter dari Atalanta, bagaimanapun kelab dari San Siro itu boleh membelinya secara tetap akhir musim ini. Inter dilihat bakal mengekalkan Gagliardini yang berperanan di bahagian tengah sebagai holding midfielder.

Merupakan bintang yang membawa Itali ke separuh akhir kejohanan Euro Bawah 21 musim lalu. Pantas, kuat dan mempunyai etika kerja yang menakjubkan, Gagliardini boleh juga ditolak ke atas jika diperlukan.

Bryan Cristante (23, Atalanta)


Produk remaja Milan, Cristante kini terikat bersama kelab gergasi Portugal, Benfica namun menghabiskan tiga musim secara pinjaman di Serie A.

Sebelum ini diletakkan beraksi di bahagian lebih bawah namun peranannya diubah oleh pengurus Atalanta, Gian Piero Gasperini. Itu merupakan satu tindakan yang cukup bijak apabila Cristante yang sebelum ini hanya menjaringkan tiga sepanjang karier, kini meledak 11 gol dalam musim ini sahaja.

Patrick Cutrone (20, AC Milan)


Milan menghabiskan jutaan Euro untuk mendapatkan penyerang baharu musim lepas termasuk Andre Silva dan Nikola Kalinic namun opsyen serangan terbaik kelab itu sebenarnya cukup dekat dengan mereka.

Disifatkan ‘pemain nombor 9 sebenar’ oleh majalah Gazzetta dello Sport, penyudah, kedudukan, kekuatan dan perebutan bola di udara merupakan senjata utamanya berbanding skil individu. Menikmati musim yang baik bersama Milan apabila meledak tujuh gol daripada 20 perlawanan dan merupakan penyerang pilihan pengurus, Gennaro Gattuso.

Federico Chiesa (20, Fiorentina)


Produk terbaharu Viola, Chiesa berjaya menempatkan diri dalam pasukan utama sejak dua musim lalu. Biasanya diletakkan beraksi di bahagian sayap, pemain muda ini juga mampu berperanan sebagai penyerang atau pemain tengah. Beraksi dia bahagia sayap kiri sebelum masuk ke dalam untuk melepaskan rembatan menerusi kekuatan kaki kanannya.

Bukan ‘primadona’ di atas padang, Chiesa menunjukkan kesungguhan yang tinggi apabila membantu pertahanan ketika diserang lawan. Melakukan penampilan sulung buat Azzuri ketika tewas kepada Argentina Jumaat lalu.