Traore guna losen bayi elak ditarik pertahanan lawan

Adama Traore (tengah) kerap menjadi mangsa tarik dan terjahan pihak lawan. Foto: Laurence Griffiths/NMC Pool

Pemain sayap Wolves, Adama Traore tampil sebagai salah seorang bintang pasukan itu musim ini menerusi persembahan membanggakan.

Keupayaan dalam larian pantas dan kelebihan susuk tubuh yang 'sado' menjadi antara senjata untuknya melepasi pertahanan lawan.

Namun, oleh kerana fizikalnya yang besar, Traore sering menjadi mangsa ditarik pertahanan lawan sehingga menyebabkan bekas produk La Masia Barcelona itu kerap mendapat kecederaan bahu.

Dan kini Traore menjadi taktik baharu bagi menghentikan cubaan lawan menariknya ketika melakukan larian di bahagian sayap.

Menurut laporan The Sun, pasukan perubatan Wolves menasihatkan Traore menggunakan losen bayi bagi menyukarkan cubaan lawan menarik tangannya.


Taktik yang digunakan Traore 'kantoi' ketika Wolves menang 3-0 ke atas Crystal Palace minggu lalu apabila staf pasukan dilihat menyapu losen bayi berkenaan di lengan pemain berkenaan.

Menurut The Sun yang memetik sumber dalaman pasukan, "Ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan bagi melindungi Traore.

"Pertahanan (lawan) sangat risau jika Traore melepasi mereka menerusi kepantasan lariannnya. Dan disebabkan itu mereka gemar menarik lengan atau bahu Traore sehingga boleh menyebabkan kecederaan.

"Melicinkan lengannya membuatkan lawan sukar menarik lengan Traore, sekali gus mengelakkan lebih banyak kecederaan," katanya.