UEFA akui silap batalkan gol Isak

Alexander Isak (Nombor 9 dan dalam bulatan) akui kecewa dan terkejut dengan keputusan pengadil membatalkan jaringannya biarpun dirujuk kepada pasukan VAR.

Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengakui kesilapan besar dilakukan dalam keputusan video bantuan pengadil (VAR) yang membawa kepada pembatalan gol penyerang Sweden dan Newcastle United, Alexander Isak ketika menentang Azerbaijan, Selasa lalu.

Pengadil mengambil keputusan membatalkan jaringan Isak yang sepatutnya gol keempat Sweden dalam kemenangan besar 6-0 untuk aksi kumpulan 1 Liga Negara Negara Eropah C biarpun selepas merujuk pasukan VAR.


Kesilapan tersebut berpunca apabila VAR gagal mengesan hantaran terakhir yang dilakukan Victor Gyokeres kepada Isak sebaliknya meletakkan garisan kepada pemain pertahanan yang memberikan bola kepada penyerang Sporting Lisbon itu.


Gyokeres turun sedikit ke bawah bagi mendapatkan bola sebelum melorongkan bola membelah pertahanan Azerbaijan sebelum Isak melakukan larian dari sayap kiri masuk ke dalam dan menyudahkan hantaran tersebut.

Isak mengakui kecewa dengan keputusan pengadil yang tidak membenarkan jaringan pemain itu.

"Ada sedikit berang, saya tidak bohong. Anda membuat garisan dan ia memang salah dan sangat teruk.

"Saya boleh menerima sebarang penilaian situasi yang mana orang mempunyai pandangan yang berbeza. Namun (dalam situasi ini) keputusan yang salah tidak sepatutnya berlaku," katanya.