Bekas pemain pertahanan Atletico Madrid dan Chelsea, Filipe Luis kini muncul antara pengurus muda berbakat dalam bola sepak antarabangsa susulan kejayaannya mengemudi kelab Brazil, Flamengo meraih tiga kejuaraan dalam tempoh hanya enam bulan sahaja.
Luis yang pernah meraih kejuaraan Liga Europa sebanyak dua kali serta La Liga bersama Atletico hanya menggantung butnya pada 30 November 2023 namun keputusannya itu membawa tuah kepadanya.
Dia tidak menunggu lama selepas persaraan apabila dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah 17 tahun Flamengo sebelum dipromosi mengemudi skuad bawah 20 tahun pada Jun tahun yang sama.
Sebulan mengendalikan skuad itu, Luis meraih kejuaraan pertama sebagai ketua jurulatih apabila pasukan bimbingannya menundukkan wakil Greece, Olympiacos 2-1 untuk muncul juara Piala Intercontinental Bawah 20 Tahun.
Karier kejurulatihan Luis meningkat ke satu peringkat lagi pada September tahun lalu apabila dia dinamakan sebagai ketua jurulatih sementara Flamengo susulan pemecatan Tite.
Menariknya, sehari selepas pengumuman, Luis yang berusia 39 tahun ditawarkan kontrak sebagai ketua jurulatih sehingga penghujung 2025.
![]() |
Luis hanya berada semusim di Stamford Bridge namun meraih kejuaraan berganda EPL dan Piala Liga pada musim 2014-2015. |
Dia yang pernah memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea tidak menoleh ke belakang selepas itu apabila cemerlang membawa Flamengo dengan merekodkan 19 kemenangan, tujuh seri dan satu kekalahan.
![]() |
Carioca Serie A merupakan kejuaraan ketiga diraih Luis bersama skuad utama Flamengo. |
Untuk rekod, Flamengo ketika ini mengekalkan rekod 24 perlawanan tanpa kalah termasuk kejayaan menundukkan Fluminense 2-1 secara agregat untuk muncul juara Carioca Serie A, Isnin lalu.
Dia juga turut memenangi Copa do Brasil 2024 dan Supercopa do Brasil 2025.
Rekod demi rekod yang dicatatkan Luis memungkin satu hari nanti dia berhijrah ke Eropah kembali, sama seperti perjalanan pengurus Atletico, Diego Simeone.
Social Plugin